Khamis, 9 Ogos 2012

Pemahaman 2

Baca catatan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.


Lawatan Persatuan Bulan Sabit Merah ke Pusat Orang-orang Cacat Petaling Jaya

           Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah ini telah mengadakan lawatan ke Pusat Orang-orang Cacat di Seksyen 12, Petaling Jaya. Lawatan diadakan pada hari Sabtu bersamaan 17September 2005.
           Selain menambah pengetahuan, lawatan ini bertujuan memupuk perasaan kasih sayang dan prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Pelajar juga diharap mendapat kesedaran untuk membantu orang cacat dan tidak sekali-kali menyisihkan mereka.
           Lawatan disertai oleh 44 orang ahli persatuan, seorang guru penasihat, iaitu Cikgu Ahmad Hawari bin Abdul Rahim, dan dua orang guru pengiring, iaitu Cikgu Chok Lai Poon dan Cikgu Poniah a/l Punusamy. Rombongan ini bertolak dari sekolah pada pukul 8.30 pagi.
           Kami tiba di sana pada pukul 11.00 pagi. Pengelola pusat itu menyambut kedatangan kami dan memberikan taklimat ringkas tentang latar belakang pusat itu. Kemudian, beliau membawa kami melawat sekitar asrama, bengkel pertukangan, bengkel kraf tangan, bengkel jahitan, dan bengkel membaiki radio dan televisyen.
           Penghuni pusat ini dilatih dengan pelbagai kemahiran agar mereka dapat berdikari dan menjalani kehidupan yang lebih baik apabila keluar  daripada pusat ini. Hasil kerja tangan mereka juga dijual untuk memperoleh wang saku.
           Ahli rombongan kami amat kagum melihat kebolehan penghuni pusat ini setanding dengan orang ramai. Kami juga membeli beberapa hasil kraf  tangan mereka untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Cikgu Ahmad Hawari mewakili ahli  rombongan dan semua pelajar serta guru Sekolah Kebangsaan Bentong menyampaikan sumbangan derma RM500 kepada pusat ini.
           Lawatan ini banyak memberikan pengajaran dan kesedaran kepada para pelajar. Kami berharap akan dapat melakukan lawatan yang berfaedah yang mampu membuka minda kami seperti ini pada masa akan datang. Benarlah kata pepatah, “Jauh perjalanan, luas pemandangan.”


Laporan disediakan oleh,                                                  22 SEPTEMBER 2005. 

Mohd Hafiz

(MOHD. HAFIZ BIN IBRAHIM)
Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah,
Sekolah Kebangsaan Bentong.


1. Berapa orangkah yang menyertai lawatan itu?

 A 44 orang           C 47 orang
 B 48 orang           D 40 orang

2. Berapa lamakah perjalanan dari sekolah ke pusat orang-orang cacat?

A 3 jam                  C 2 jam setengah
 B 11 jam               D  8 jam setengah

3. Siapakah guru penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah Sekolah Kebangsaan Bentong? 

 A Cikgu Ahmad Hawari bin Abdul Rahim 
 B Cikgu Chok Lai Poon 
 C Cikgu Poniah a/l Punusamy 
 D Cikgu Mohd. Hafiz bin Ibrahim 

4. Siapakah yang menyumbangkan wang RM500 kepada Pusat Orang-orang Cacat itu? 

 A Cikgu Ahmad Hawari 
 B Kesemua ahli rombongan 
 C Semua pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Bentong 
 D Pelajar dan ahli rombongan Sekolah Kebangsaan Bentong 

5. Penghuni Pusat Orang-orang Cacat yang telah meninggalkan pusat itu dapat berdikari kerana 

 A mereka diberikan bantuan kewangan. 
 B mereka akan tinggal dengan keluarga angkat yang kaya. 
 C mereka mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka mencari pekerjaan. 
 D mereka akan diberikan pekerjaan di jabatan-jabatan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan